Dua dari kanan Mr. Leong Kok Seng, inilah gambar terakhir saya di sekolah rendah ketika itu
“Hasrizal, nanti bila ke sekolah menengah, janganlah pergi sekolah yang jauh-jauh. We need someone to teach the students playing trumpet!” kata Miss Cecilia, guru muzik saya.
Saya tersenyum.
Ada juga terdetik rasa sedih melepaskan trumpet Yamaha pemberian pihak sekolah kepada saya. Jika sesi latihan, kami semua menggunakan trumpet buatan China berharga RM30 sebuah, saya dihadiahkan dengan sebuah trumpet Yamaha berharga RM350 kerana meraikan bakat yang ada.
Setelah tiga tahun bersamanya, saya melepaskan trumpet itu pergi. Persekolahan peringkat rendah sudah berakhir. Semua murid SRK Raja Di Hilir Ekram secara otomatik akan menyambung pelajaran peringkat menengah di SMK Jalan Pasir Puteh. Tetapi saya ada menerima tawaran ke beberapa buah sekolah.
Cikgu muzik yang rapat dengan saya mahu pembelajaran saya di sekitar Ipoh. Kemahiran saya mahu dipanjangkan lagi untuk diwariskan kepada adik-adik. Tetapi beliau tahu yang saya mendapat banyak tawaran sekolah asrama. Apa yang Miss Cicelia tidak tahu ialah semua tawaran itu adalah sekolah agama.
4 JANUARI 1988
Pagi Isnin itu penuh debar. Saya mendaftarkan diri sebagai pelajar baru Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh. Perasaan sungguh bercampur aduk.
Terasa belum puas menjadi anak sepenuh masa di rumah sendiri, pada usia 12 tahun saya sudah memulakan langkah berdikari. Mampukah saya? Pelbagai persoalan menyerang kepala.
Biji-biji saga yang merah menyala bertaburan di celah rumput. Saya berteduh di bawah rimbunan pepohon di tepi bangunan sekolah sambil menunggu giliran mendapat nombor pendaftaran. Abah berbual dengan beberapa orang kenalan yang ditemui.
Tersenyum juga… saya ternampak Ziad dan Haris, dua pupu saya yang sebaya tetapi bersekolah di sekolah yang berlainan. Kami sedatuk dan kini sesekolah. Tiga serangkai sering dijadikan buah mulut saudara mara, hari ini mendaftarkan diri di SMA Izzuddin Shah Ipoh (SIS).
“071/88, Hasrizal bin Abdul Jamil!” kerani yang mendaftarkan pelajar memanggil nama saya.
Itulah nombor yang kemudiannya saya tuliskan di baldi, baju, cadar, stokin, kasut, dan semua harta yang dimuatkan di dalam locker paras dada di asrama.
Saya bersalam dengan abah dan emak, mencium tangan mereka dengan linangan air mata. Tidak tergamak mulut mahu menyebut sayang, sekadar meminta doa dari mereka.
MINGGU ORIENTASI
Minggu orientasi selama dua minggu pertama kami di SIS amat memeritkan.
Saya yang berbadan gempal ini sering diejek dengan pelbagai gelaran. Sudahlah gemuk, kaki bangku pula rupanya.
Hati saya menggerutu marahkan ustazah di sekolah rendah dahulu. Saya bermain sukan seaktif-aktifnya, antara bola sepak, hoki dan rounders. Tetapi kata ustazah, asal usul permainan bola sepak ialah pada perbuatan musuh-musuh Islam menyepak kepala cucu Nabi yang dipenggal di Kufah!
Semenjak itu saya haramkan kaki ini menyepak bola.
Hanya hoki yang berbaki, sukan yang ada kalanya popular, ada masanya mengundang ngeri. Abang Ijun, salah seorang abang saya yang juga aktif bermain hoki, rabak mulutnya kerana tersangkut dengan kayu hoki yang dihayun oleh kawan sendiri. Fazrin juga semasa berlatih hoki dengan saya, luka teruk kening di mukanya semasa tersilap menahan bola hoki yang saya pukul deras ke arahnya. Bola meleret di atas kayu dan terus menghentak keningnya.
Aduh.
Hoki mengerikan.
Tetapi itu sahaja pilihan yang saya ada.
Bola sepak sudah terlambat. Saya kaki bangku.
Kelemahan saya itu dimanipulasi oleh abang-abang senior. Mereka memaksa saya menjadi penjaga gol semasa pertandingan bola sepak sempena minggu orientasi pelajar Tingkatan 1.
Entah berapa biji bola yang bolos, saya pun sudah malas mengiranya.
“Kenapa kamu lepaskan bola tu, bodoh?” tanya senior yang menjadi fasilitator kumpulan saya.
“Saya penjaga gol, bukan penjaga bola. Jadi saya jaga gol sahajalah, jangan dirosakkan pemain bola!” saya menjawab pedas.
Sebiji luku hinggap di kepala. Berpinar juga pemandangan seketika.
JUMAAT BERSEJARAH
Seumur hidup saya tidak pernah bersolat subuh di masjid.
Pagi yang hening ini, adalah subuh pertama saya secara berjemaah, di tempat azan diazankan.
Baju melayu kuning, kain pelekat bergulung tebal hampir ke dada, saya memasang telinga mendengar taklimat Ustaz Muhammad. Beliau bukan cikgu agama. Beliau cikgu Matematik. Tetapi kesungguhannya mendidik, menyebabkan saya sentiasa melihat dirinya sebagai GURU. Sesuai dengan erti kalimah itu di dalam bahasa India, guru itu mendidik minda dan jiwa murid. Itu yang saya rasa setiap kali ‘menyerahkan diri’ kepada guru yang seorang ini.
“Ingat, semasa di rakaat pertama saya akan berhenti membaca di tengah surah dan terus sujud tanpa rukuk. Kamu semua sujud bersama saya. Bacalah Subhanallah, kemudian ikut saya bangun semula. Ia masih rakaat pertama. Faham?” tanya Ustaz Muhammad.
Kami mengangguk.
Peliknya solat subuh ini. Namanya sujud sajdah sempena Surah Sajdah yang dibaca di rakaat pertama.
Saya tidak faham makna surah itu. Tetapi bacaan Ustaz Muhammad amat syahdu.
Tanpa sedar air mata saya keluar bercucuran tidak dapat ditahan-tahan. Basah lengan baju saya kerana menahan tangisan. Selepas memberi salam, saya tidak mampu berwirid. Hanya termenung, berfikir dan merenung ke arah yang tidak pasti. Tiba-tiba terasa diri ini kosong bagai tak pernah memiliki apa-apa. Miskin, bodoh, hina dan kosong hilang makna.
Ustaz Muhammad bangun membetulkan ketayapnya. Janggut yang lebat diurut-urut. Sebelum memulakan tazkirah Subuh, Ustaz Muhammad mendiamkan diri, merenung wajah anak-anak muridnya, bagai satu demi satu. Seni luar biasa dalam pidato untuk menarik perhatian sekalian yang mendengar.
Hening…
TAZKIRAH MAHA DAHSYAT
“Siapa kamu?” tanya Ustaz Muhammad kepada seorang rakan saya.
“Saya Abbas,” katanya.
“Hmm! Kamu siapa?” soal beliau kepada saya pula.
Terkejut.
“Err… saya Hasrizal” jawab saya. Perlahan.
“Mana kamu tahu kamu Hasrizal?” soalnya lagi.
“Dalam surat beranak saya tulis nama Hasrizal. Emak dan Ayah bagi nama” saya memberanikan diri bersuara.
“Sebelum emak dan ayah kamu memberi nama, siapa kamu? Apa nama kamu?” tanya Ustaz Muhammad lagi.
“Err… saya tidak tahu. Saya tak ada nama!” saya mengutip segala cebisan semangat di dada untuk menjawab soalan provokasi yang Ustaz Muhammad lontarkan.
“Kamu ada nama!” tegas beliau.
“Nama apa?” saya kebingungan.
“Nama kamu Abdullah!” Ustaz Muhammad mengeraskan suaranya.
“Bukan. Nama saya bukan Abdullah” saya semakin cemas.
“Memang nama kamu bukan Abdullah. Tetapi kamu Abdullah. Abbas, kamu juga Abdullah. Saya juga Abdullah. Kita semua Abdullah!” syarah Ustaz Muhammad.
Saya mula mencari faham. Dalam diam, dan gangguan perasaan yang saya pendam.
“Kita semua adalah hamba Allah. Kita hamba. Ayah kita hamba. Emak kita hamba. Kita semua hamba. Bukan bos. Haram bagi hamba untuk ego. Haram bagi hamba untuk sombong. Buang semua rasa pandai dan sombong kamu, agarr selama kamu berada di Madrasah ini, kamu berjaya… Berjaya apa?” soal beliau kepada Udin, di sebelah saya.
“Err….” beliau panik.
“Berjaya mentaati Allah. Itulah kejayaan seorang hamba. Berjaya memperhambakan diri kepada Allah! Itulah yang akan kamu belajar di sini. Insya Allah…” suara Ustaz Muhammad menjadi perlahan.
Ada manik-manik kaca bergenang di matanya. Saya melihatnya seperti sinar mentari yang penuh harapan. Penuh kehidupan.
Majlis ditutup dan semua pelajar beredar ke Dewan Makan untuk bersarapan.
Saya tidak mampu bangun. Tersepuk di atas sejadah, menyandarkan bahu ke dinding pentas Dewan Besar yang dijadikan musolla kami.
“Aku hamba!” saya berbisik perlahan.
Bagai seorang bayi yang dilahirkan semula, subuh Jumaat itu terasa amat luar biasa.
Saya lahir di rumah ayah dan bonda, di musolla itu kelahiran saya diberi makna.
Makna hidup seorang hamba…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment