Tuesday, April 21, 2009


Tidur-tidur Yang Sunat Dikejutkan



Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:
Seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله
“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.”

(Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:
Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga:
Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.

Rasulullah saw bersabda:

من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh).

(Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:
Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.
Nabi saw bersabda:

إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم

“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.”

(Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima:
Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:

الصبحة تمنع الرزق

“Tidur subuh menegah rezki.”

(Hr Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:

الأرزاق تقسم وأنت نائم

“Rezeki dibahagi-bahagikan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:
Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها

“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.”

(Hr Bukhari - sahih)

Ketujuh:
Tidur lepas solat asar.

Nabi saw bersabda:

من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.”

(Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:
Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan:
Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh:
Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.”

(Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.”

(Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:
Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.

Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya.

(Hr Abu Daud 1308 – perawi-perawinya thiqah)

Ke dua belas:
Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur. Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.”

(Hr Muslim)


Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.

sumber:www.iluvislam.com

Monday, April 20, 2009

seminggu sebelum ujian... adakah kita???


untuk pic lebih jelas clik pada gambar...

adik2 LTKS prepare awal2 ya.. jangan last minute...

Good luck 4 Final

let's strive 4 mardhotillah

berusaha untuk berjaya ujian dunia dan ujian akhirat-)

Saturday, April 11, 2009

Snada-Jagalah Hati





15 Maksiat Yang Mengundang Bala

Lima Belas Maksiat Yang Mengundang Bala
www.iluvislam.com
dihantar oleh: salleh63
Editor: ar-ruhul JADEED




Maksud hadis :
"Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda:
"Apabila umatku telah membuat lima belas pekara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu :

1. Apabila harta negara hanya beredar kepada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.


4. Suami yang menuruti kehendak isteri.


5. Anak derhaka kepada ibunya.


6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.


7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.


8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.


9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah yang terhina di antara mereka.


10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.


11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.


12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)


13. Para artis disanjung (menjadi pujaan).


14. Muzik banyak dimainkan.


15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).


Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan di ubah menjadi makhluk yang lain." H.R. Tarmizi.



Dipetik daripada buku 40 hadis Peristiwa Akhir Zaman, Siri Pertama, susunan : Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi.

sumber: iluvislam.com

Panduan Khusyuk Dalam Solat


Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang
  1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
  2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
  3. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
  4. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
  5. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
  6. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
  7. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
  8. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
  9. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
  10. Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
  11. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
  12. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
  13. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
  14. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
  15. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih




sumber: iluvislam.com

Thursday, April 09, 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan.

Sedar tak sedar akhirnya kita sudah menghampiri ke penghujung semesta ke-2 bagi sesi 08/09. terlalu banyak rasanya kenangan dan pengalaman yang kita bersama kutip. antaranya Usrah menjadikan kita punya masa untuk berbicara tentang Islam, mendalami keindahan sirah dan menghayati makna tersirat di sebalik ayat2 al-Quran yang menuntut kita mempraktikan dalam kehidupan.

sebagai senior di LTKS rasanya tahun ini adalah tahun yang amat cemerlang buat LTKS. dengan penganjuran MAI'09 dan banyak lagi program telah mengikat ahli LTKS untuk sama2 berjuang meletakkan Islam ke tempat yang selayaknya di KTDI. di samping itu pengukuhan ukhwah telah membawa LTKS kembali dalam kedudukan yang stabil. jika dilihat di awal2 sem LTKS umpama menerima satu terjahan yang menuntut ahlinya melakukan reformasi bagi memacu LTKS ke tempat yang lebih tinggi. dan syabas pada barisan pimpinan yang baru serta Biro kerohanian JKM yang bertungkus lumus mengembalikan izzah LTKS sebagai satu persatuan yang kehadirannya bukan hanya melengkapkan suasana namun mencetus satu rasa yang tempiasnya dirasai semua.

menjadikan agenda dakwah sebagai perkara utama rasanya bukan mudah. namun jika semua hli faham akan tanggungjawab kita sebagai muslim insyaAllah segala mehnah & tribulasi yang datang dapat diterima dan dianggap sebagai satu sunnah dalam perjuangan. suka saya mengingatkan akan tanggungjawab atau peranan kita sebagai manusia. kita manusia dijadikan sebagai abid (hamba), pemakmur alam dan juga KHALIFAH. sebagai khalifah wajib atas kita mentadbir alam ini mengikut acuan yang telah diturunkan oleh Allah. disini juga saya ingin menyeru sahabat2 yang lain. tugas amar makruf nahi mungkar bukan hanya di bahu pimpinan LTKS, bukan juga di bahu ahli2 LTKS. tapi tugas ini adalah bagi setiap manusia yang mengucap 2 kalimah syahadah.

"Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...." (surah al-Imran ayat 110)

wajarkah kita hanya menunding jari pada LTKS jika sesuatu kemugkaran berlaku. ayuh Mahasiswa bersama mengembeleng tenaga agar bi'ah solehah dapat kita wujudkan di KTDI. agar KTDI benar2 menjadi Raudah yang kita impikan.

dan menjelang peperisaan yang bakal menjelma ini, saya menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi marilah kita menghidupkan malam. bukan hanya untuk belajar tetapi untuk bertahajud padaNya.

sesungguhnya setelah kita berusaha hendaklah kita berdoa dan bertawakal padanya. jauhkan diri kita dari maksiat dan yang utama bersihkan niat kita. sesungguhnya kita datang ke bumi UTM ini untuk belajar semata-mata mendapat keredaanNya.

selain itu mintalah restu dari ibu dan bapa.

akhir sekali saya memohon maaf jika ada tersalah menulis dan sama2lah kita berusaha melakukan yang terbaik dalam peperiksaan Final ini demi Tuhan yang Esa. InsyaAllah.
_senior LTKS_
(Pencari Sinar)

Mengurus Masa

Kenapa kita perlu mengurus masa? Kata Dr Taufiq Al Wa'ei...sekiranya kita dapat mengurus masa kita dengan baik maka kita dapat melakukan banyak kerja atau tanggungjawab dalam suatu masa. As Syahid Hassan al Banna menyebutkan bahawa ..... Mukmin mempunyai tanggungjawab lebih dari masa yang ada.

2 penyataan ini dapat memberi jawapan mengapa kita perlu bahkan kita seharusnya mengurus masa kita dengan baik. Persoalannya ramai yang tidak dapat menguruskan masa mereka dengan baik. Bahkan ada yang sengaja membazirkan masa yang pada hakikatnya terlalu terhad dan bernilai. Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk kita menguruskan masa yang kita ada.

PERTAMA. Jangan kita rasa kita membuang masa apabila kita berhenti dan duduk sebentar untuk merancang penggunaan masa kita dengan baik. Mungkin kita terpaksa membeli buku untuk mendalami bagaimana cara terbaik untuk mengurus masa kita. Ingat! Jika kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal.

KEDUA. Refresh atau resetting matlamat yang ingin kita capai supaya ianya benar-benar jelas dan segar supaya dengannya kita dapat bezakan antara perkara yang utama dan kurang utama (rujuk artikel2 sebelum ini). Ingat! Matlamat yang jelas akan membangkitkan semangat dan daya kreativiti untuk kita memanfaatkan kehidupan yang seketika ini. sekarang ini senaraikan perkara-perkara yang benar-benar utama dan kurang utama. Senaraikan juga perkara yang benar-benar segera dan perkara yang penting tetapi masih boleh kita tangguh dulu pelaksanaannya. Contohnya: penglibatan di dalam aktiviti kelab dan persatuan sememangnya penting bagi pelajar untuk membangunkan skill kepimpinan dan kerja kumpulan tetapi apabila kita berdepan dengan peperiksaan maka kedua-duanya penting. Satunya akan meningkatkan softskill yang tanpanya ijazah yang kita miliki tidak akan benar-benar bermanfaat, keduanya perlu untuk kita memiliki ijazah atau kualiti akademik.....tetapi keduanya memiliki perbezaan dari sudut muwazzonat atau timbangan kesegeraannya. Satunya masih boleh ditangguhkan manakala yang satu lagi telah pun ditetapkan tarikhnya. Bagaimana pula kalau kita bekerja di pejabat...tiba-tiba Boss berikan satu atau beberapa tugas baru sedangkan tugasan yang sebelumnya belum lagi kita habiskan. jadi apa yang perlu lakukan? KIta akan pening kepala untuk menentukannya kerana kita hanya melaksanakan tugasan dari orang lain dan mereka yang memberi tugasan itu lebih sedar mana yang segera mana yang tidak, mana yang penting dan mana yang kurang penting....jadi tanyakan pada boss kita mana yang dia ingin untuk disiapkan terlebih dahulu.

KETIGA. Wujudkan atau susun "To Do List". Mungkin daya ingatan kita tajam tetapi ada masa-masanya kita kehilangan fokus terutama apabila kerja bertimbun. Susun semua tugasan itu mengikut turutan masa. Warnakan semua tugasan itu mengikut kepentingan dan kesegeraannya. Contohnya warnakan tugasan yang penting dan segera dengan warna merah dan yang kurang penting dan kurang segera dengan warna pink. Warnakan tugasan yang kurang penting tetapi segara dengan warna kuning manakala tugasan yang kurang penting dan kurang segera dengan warna grey dan sebagainya.

KEEMPAT. Pastikan perancangan kita itu flexible....jangan terlalu rigid. Pastikan dalam perancangan kita ada ruang untuk perubahan terutamanya apabila ada gangguan. Dan apabila ada gangguan...tentukan kedudukannya dalam perancangan kita...samada penting atau tidak, segera atau boleh ditangguhkan. Contohnya kawan kita ajak kita keluar shopping. Tentukan nilai shopping pada masa itu...penting atau tidak penting.

KELIMA. Tentukan "Biological Prime Time(BPT)". Setiap kita dipengaruhi oleh BPT masing-masing, ada orang selesa membaca ketika malam dan ada orang suka membaca diawal pagi...bagaimana dengan kita. Pastikan kita mengambil kita BPT ketika merancang dan menjadualkan masa kita. Jangan kita letakkan waktu membaca di waktu petang sedangkan kita tidak selesa membaca pada waktu itu. (Sebagai nasihat berkaitan membaca atau menonton: Bacalah atau tontonlah bahan-bahan yang serius bukan bersifat hiburan atau santai....kerana ini akan menentukan keluasan ilmu kita dan kematangan dalam berfikir)

KEENAM. Uruskan masa kita dengan sebaiknya. Saya suka ringkaskan takrifan PENGURUSAN kepada dua penyataan :1. Buat perkara yang betul (Do the right thing) 2. Buat perkara yang betul itu betul-betul (Do the thing right). Kita akan membazirkan masa dan umur kita dengan membuat perkara-perkara yang tidak betul.... kita akan sia-siakan usaha dan tenaga kita apabila tidak membuat sesuatu tindakan itu betul-betul hingga kerja-kerja kita gagal atau terbengkalai.

KETUJUH. Elakkan perkata-perkara Urgent atau datang tiba-tiba. Jika kita tidak merancang betul-betul banyak perkara yang tiba-tiba saja kita perlu laksanakan. Ini akan menganggu perancangan kita. Jadi berikan masa yang secukupnya untuk merancang masa kita. Pastikan semua perkara diambil kira. Lihat permasalahan dari setiap sudut.

KELAPAN. Jangan terlalu sempurna. Setiap kita ada kelemahan kerana itulah sifat manusia. Jangan letakkan target yang terlalu tinggi dan jangan pula kita takut berdepan dengan kegagalan. Rancang yang terbaik dan laksanakan yang termampu.... natijahnya serahkan pada Allah SWT. Kadang-kadang sifat inginkan yang terlalu sempurna menyebabkan kita jadi Allien dalam masyarakat.

KESEMBILAN. Belajar untuk katakan 'tidak'. Tak semua permintaan perlu kita penuhi, Tak semua tanggungjawab perlu kita tanggung dan tak semua tugasan, kita yang perlu buat. Sentiasa nilai perancangan kita, ukur kemampuan diri kita sebelum menerima tugasan atau tanggungjwab baru.

KESEPULUH. Ingatlah bahawa kita akan dipanggil pulang mengadap Allah SWT....pastikan perkara ini kita ambil kira ketika melakukan perancangan dan menentukan apa yang perlu kita lakukan dan apa yang perlu kita tinggalkan. Pastikan perancangan kita menjangkau kehidupan dunia yang sementara dan sampai kepenghujung kehidupan kita yang sebenarnya. Pastikan kejayaan yang kita cari itu adalah kejayaan hakiki dan kebahagiaan yang cuba kita raih itu adalah kebahagiaan yang kekal abadi.


Umur yang panjang jangan dipendekkkan dengan tidur






sumber: http://my.opera.com
(Azmi Bahari)

Tangisan dunia perlu diubati. di mana kita?

Dunia hari ini menangis, hari demi hari umat manusia dalam pengembaraan menuju hari akhirat ini semakin bobrok perilaku dan akhlaknya. Ma’siat berlaku setiap detik dari masa ke semasa termasuk oleh insan yang namanya muslim walau di mana kita berada. Golongan muda khususnya semakin rosak dan bejat peribadinya di mana penzinaan, sumbang mahram sering berlaku sering berlaku. Jenayah kecurian, pembunuhan dan lain-lain lagi berlaku dengan berleluasa tanpa bendungan melibatkan umat Islam dan bukan Islam. Dan paling menyedihkan saban hari gejala tidak bermoral dan jenayah ini seperti sudah tidak pelik lagi di mata kita.
Implikasi dari perkara ini dunia bagai tidak aman dan selamat lagi untuk didiami lantaran sifat kebinatangan, kerakusan dan kerosakan di bawa umat manusia sendiri. Hak asas kehidupan manusia terancam. Nyawa, mental, harta dan keturunan umat manusia semakin terancam apatah lagi agama Islam, tidak lagi dijadikan cara hidup oleh sebahagian umat manusia termasuk umat Islam sendiri.

Justeru, apakah kita yang mengatakan diri kita Islam ini hanya mahu membiarkan perkara ini terus berlaku dengan pandangan sebelah mata? Tidak sama sekali tidak!

Hadis nabi. Maksudnya:

“Barang siapa yang tidur dan tidak menghiraukan urusan umat Islam, maka kamu bukan dari golongan mereka”

Sumber Hadis : Bab Saya mestilah Islam dari sudut keluarga”
Buku: Maza ya'ni intimaie bil Islam
Fathi Yakan

Justeru, umat Islam perlu bersatu di atas nama Islam untuk menyelamatkan umat islam dan dunia secara umumnya bukan di atas dasar kejahiliyyahan seperti sekularisme, nasionalisme, sosialisme dan sebangainya. Kerana hanya Islam yang mampu memberi kesejahteraan dan menjaga kebajikan manusia. Undang-undang Islam perlu ditegakkan bagi menjaga kebajikan dunia iaitu 3 maqasid syar’ieyyah

1. Perkara Dhoruriyyat
Perkara yang tidak boleh tidak perlu ada)
(agama, nyawa, akal, harta dan keturunan)

2. Perkara Hajiyyat
keperluan asas kehidupan

(tempat tinggal, makanan dll)

3. Tahsiniyyat
Pelengkap

(kipas, kereta dan lain-lain)

Hanya hukum Islam sahaja yang boleh menjaga 3 perkara di atas khususnya 5 perkara dhoruri. Dengan terjaganya 5 perkara dhoruri akan terjagalah perkara hajiat dan perkara tahsiniyyat. Dengan tertegaknya Islam akan terjagalah agama, hukum-hukum dan undang-islam Islam digunakan, manusia menjauhi segala larangan ALLAH dan melakukan perkara yang ma’ruf. Apabila perkara ini berlaku terbendunglah segala masalah kerosakan akhlak, jenayah, kerosakan, rogol dan penyelewengan harta dan sebagainya kerana Allah melarang semua hambaNYA melakukan perkara keburukan di atas muka bumiNYA. Maka terjagalah kelima-lima perkara dhoruri tadi iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan serta selamatlah dunia.

Justifikasi dari perkara ini, kita umat islam perlu melaksanakan tugas kita sebagai khalifah iaitu menegakkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam bagi mengubat dunia dan menjaga kebajikan dunia. kita jadikan al-quran sebagai sumber perundangan kita. Kita perlu membina diri kita menjadi individu muslim, kemudian kita bina keluarga muslim, kita bina masyarakat muslim dan seterusnya kita perlu bersatu hati untuk membina daulah Islamiyyah yang menjalankan hukum-hukum Islam.

Ayuh Bangkit!! Kita bina kembali keagungan Islam seperti mana zaman keagungan Islam di zaman Rasullullah di Madinah, zaman pemerintahan khalifah-khalifah unggul seperti Harun Arrasyid, Sollahuddin Al-Ayubi dan lain.. Jangan biarkan ia hanya menjadi sejarah. Gambar madinah sekadar dijadikan hiasan dinding. Mari kita jadikan keagungan Islam kembali tertegak sebagai realiti. siapa lagi kalau bukan kita yang perlu membinanya..
Ayuh Syabab!! Allahu Akbar!!

sumber: http://penawar-cahaya.blogspot.com/
(kak Syifa' Ismail)

Wednesday, April 08, 2009

Wahai Diri


Wahai diri..

Di mana dikau..

Kau kata kau hambaNya..

Seluruh hidupmu hanya untukNYA..

Segenap nafasmu hanya untuk ALLAH pencipta alam maya..


Wahai diri..

Kau tahu siapa dirimu..

Dikau khalifah..

Tugasmu untuk menegakkan agama..

Namun dimana dikau dikala Islam luncai ditangan kuffar dan dijiwa seagama dengan mu..


Wahai diri..

Kau kata kau pewaris penyampai risalah suci..

Namun dimana dikau dikala umat seagama bobrok depan mata

lalai lantaran penangan musuh..

Di mana dikau wahai diri..


Wahai diri..

Kau kata kau pejuang agama..

Setakat mana usahamu wahai diri..

Dimana usahamu wahai diri..

dimana…

jangan biar kata-kata mu berlalu bagai angin lalu..

tanpa sesuatu..


wahai diri..

kau perlu bangkit..

tunaikan amanahmu..

sumber:http://penawar-cahaya.blogspot.com/

Monday, April 06, 2009

10 TIPS menghadapi PEPERIKSAAN


Ketika anda menghadapi peperiksaan, anda sedang memperlihatkan kemampuan anda dalam memahami apa yang telah anda pelajari.

Peperiksaan memberikan gambaran terhadap perkembangan pelajaran anda.

Terdapat beberapa aspek, seperti sikap dan keadaan anda akan mempengaruhi anda dalam peperiksaan.

Sepuluh tip untuk membantu anda dalam peperiksaan :
Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan seperti pensel, pen, kalkulator, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan.
Ingatkan diri anda bahawa anda sudah bersedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik.
Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak.
Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan-soalan secara mendalam, tandakan kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan. Rancangkan untuk menjawab soalan yang mudah dahulu, baru soalan yang sukar.. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang akan digunakan sebagai jawapan.
Mulakan dengan menjawab soalan mudah yang anda ketahui, kemudian dengan soalan-soalan yang mempunyai markah yang tinggi. Soalan terakhir yang harus anda jawab adalah:
  • soalan paling sukar,
  • yang memerlukan masa yang panjang untuk menulis jawapannya,
  • mempunyai markah sedikit .
Mula-mula, abaikan jawaban yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang anda lakukan.
Buat rangka karangan secara ringkas untuk esei dengan mencatat dahulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun idea-idea tersebut mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.
Tulis frasa pokok pada frasa pertama. Gunakan perenggan pertama sebagai pengenalan esei anda. Gunakan perenggan seterusnya untuk membincangkan isi-isi utama secara terperinci. Sokong isi anda dengan penerangan yang jelas, contoh, atau petikan dari buku atau media lain jika perlu.
Periksa jawapan; elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca. Untuk jawapan matematik, pastikan tidak ada kesilapan (misalnya salah meletakkan tanda titik perpuluhan). Bandingkan jawapan matematik anda yang sebenarnya dengan pengiraan ringkas.
Setiap peperiksaan akan membantu anda dalam mempersiapkan diri untuk peperiksaan berikutnya. Tetapkan strategi mana yang sesuai dengan anda. Tentukan strategi mana yang tidak menjadi dan ubahlah. Gunakan kertas peperiksaan sebelumnya ketika belajar untuk peperiksaan akhir.

Terjemahan dari: Landsberger, Joe. Ten Tips of Test Taking



Tapi yang penting sekali jangan lupa BERDOA!!! betulkan niat dan lakukanlah hanya keranaNya. InsyaAllah Dia akan membantu.