Monday, February 16, 2009

HEWI PMIUM membantah penganjuran MUSAWAH oleh SIS

Islam adalah dien al-haq yang diwahyukan oleh Allah ta'ala kepada Rasul-Nya yang terakhir Muhammad :

"Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi."

(Surah Al-Fath: ayat 28)


Sebagai rahmat bagi semesta alam:

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

(Surah Al-Anbiya': ayat 107)


Dan sebagai satu-satunya agama yang diridhai oleh Allah ta'ala:

"Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam."

(Surah Ali Imran: ayat 19)


Bermula pada hari ini, 13 Feb 2009 hingga 18 Feb 2009, sebuah badan bukan kerajaan,

Sister in Islam (SIS) akan menganjurkan suatu program iaitu program Musawah bertempat di Hotel Prince, Kuala Lumpur secara tertutup.


Perjumpaan ini katanya bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar iaitu antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain. Program Musawah adalah 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family'.


Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) turut menyelar penganjuran program Musawah yang membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam. Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata pertemuan Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar. Menurut beliau lagi, Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syariat yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah.


Mazhab Islam Liberal hadir sesungguhnya dengan maksud untuk memutarbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan untuk mendangkalkan keyakinan umat, dan berusaha untuk menjauhkan mereka. Bahkan, sampai batas tertentu, mazhab ini berusaha memurtadkan mereka untuk kemudian mendorong mereka agar memeluk keyakinan baru (demokrasi, sekularisme, sinkretisme, humanisme).


Pergerakan SIS di Malaysia terutamanya adalah hasil daripada pengaruh barat yang datang bertopengkan perjuangan hak asasi wanita terutamanya dalam institusi kekeluargaan Islam dan pelbagai hal lagi yang berkaitan dengan wanita islam. Di Barat sendiri, perjuangan yang menuntut hak penyemarataan dengan lelaki yang dipanggil feminism telah bermula di era 60-an lagi. Diantara tuntutan pergerakan ini tehadap kerajaan adalah supaya menghapuskan institusi kekeluargaan dan meminta kerajaan menyediakan asrama awam untuk meletakkan anak yang dilahirkan untuk dijaga oleh kakitangan awam.Ini sudah melampau.Tercetusnya pergerakan ini kerana latarbelakang tamadun Barat yang sentiasa menjadikan wanita adalah golongan kelas kedua dimana hak mereka untuk belajar, mempunyai harta dan sebagainya telah dinafikan. Begitu juga di zaman sebelum era 60-an lagi, iaitu ketika tamadun Greek, Rom dan Parsi dimana mereka mengaggap wanita adalah penghuni neraka kerana membuat orang lelaki tergoda. Wanita pada ketika itu, dilayan sepertti haiwan, meraka diberi pakaian tetapi mereka dijadikan hamba seks kepada golongan lelaki, dijual dipasar, tidak dibenarkan keluar rumah dan jika melahirkan anak perempuan, orang akan memandang jijik dan mengutuk wanita tersebut.


Kita sedia maklum, selepas kedatangan Rasulullah S.A.W, martabat wanita itu diangkat tinggi. Sesiapa ingin mengahwini wanita, perlu membayar mas kahwin, diberi peluang untuk menuntut ilmu, peranan wanita di rumah dipandang tinggi dalam mendidik anak dan di bidang-bidang lain. Sehingga Saidatina Aisyah r.a sendiri pun boleh menjadi perawi hadis yang menjadi rujukan para sahabat selepas kewafatan baginda.


Berbalik kepada SIS, pergerakan ini menjadi kontrovesi disebabkan penentangan mereka terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (MFKM) terhadap isu-isu semasa seperti pengharaman Yoga, tomboy, kes murtad dan pelbagai lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penentangan SIS, anda bolehlah layari sendiri laman web SIS (http://www.sistersinislam.org.my). Namun para pembaca yang budiman tidak terpengaruh dengan hasil-hasil penulisan mereka. Banyakkan beristighfar semasa membaca laman tersebut. Namun, bagaimana pergerakan ini masih bergerak aktif dan tidak diharamkan sesat oleh kerajaan Malaysia? Apakah penjelasan dan jalan penyelesaian yang dibuat di peringkat Kerajaan di atas permasalahan ini? Malah ada pemimpin Malaysia yang turut menjadi penyokong dan pendokong SIS ini... Sama-sama kita fikir dan renung-renungkan.


Di zaman abad ke 21 yang penuh dengan cabaran untuk memesongkan akidah ini, umat Islam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan fahaman dan pergerakan yang banyak memesongkan akidah umat Islam.


Oleh itu kami HEWI PMIUM mewakili seluruh mahasiswa/i Universiti Malaya menentang dan membantah penganjuran MUSAWAH. Kami turut menyeru semua muslim seluruh dunia agar tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menentang ajaran Islam yang sebenar dan Carilah sebanyak mungkin maklumat tentang suatu pergerakan dan fahaman yang diragui berpandu kepada al-Quran dan as-Sunnah serta bertanyalah kepada ulama muktabar atau yang lebih 'alim (berilmu) dalam perkara ini untuk mengelakkan diri daripada termasuk di dalam golongan ini. Nauzubillahiminzalik.


Kesimpulannya Islam adalah addeen (cara hidup) untuk dihayati dan dipraktikkan, bukan suatu teori yang boleh dicabar dan diuji kebenarannya. Sesungguhnya Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah kerana Islam adalah satu-satunya agama disisi (diterima oleh) Allah dan ajaran Islam itu sendiri yang lengkap dan menyeluruh iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa pengecualian dari sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar perkara dan Islam itu bersifat 'alamiyyah yakni sesuai untuk semua orang, tempat dan sepanjang zaman. Wallahuallam.


>> Surah al-Baqarah: ayat 42

sumber:http://hewi-pmium.blogspot.com/

No comments: