Sunday, May 02, 2010

Bersosial Hingga Lupa Diri


Berkawan itu tidak salah, malah Islam sendiri amat menggalakkan umatnya menjalin silaturahim tanpa mengira keturunan. Tetapi sekiranya bersosial secara melampau, pasti akan ada masalah mengekori.

Kisah pertama
Telefon bimbit berjenama Black-Berry jarang sekali jauh dari genggamannya. Ke mana-mana sahaja dia pasti akan berteman dengan gajet canggihnya itu sambil melayari laman web facebook. Tanpa disedari dia berubah watak daripada seorang yang ramah kepada seorang yang pendiam.

Kisah kedua

Dulu, Mariam dan Khasif dikenali sebagai pasangan bahagia. Sebaik tamat pengajian, mereka mengikat perhubungan dengan ikatan perkahwinan. Perhubungan yang mulanya panas bertukar menjadi dingin apabila Mariam mengenali seorang lelaki yang mempunyai semua ciri-ciri idaman melalui sebuah laman web rangkaian sosial. Tabiat itu akhirnya terbongkar dan menjadi sebab perceraian mereka berdua.

Kisah di atas adalah antara cebisan kisah benar ketagihan manusia terhadap laman web rangkaian sosial. Dan bersedialah anda untuk dianggap ketinggalan zaman hanya kerana anda tidak mempunyai akaun laman web rangkaian sosial! Kemabukan trend ini tidak mengenal sesiapa sama ada anda golongan profesional, pelajar, suri rumahtangga, kanak-kanak, malahan menteri.

Sebut sahaja facebook, friendster, myspace dan twitter, laman-laman web di atas merupakan satu dunia lain yang mempertemukan insan-insan dari seluruh dunia untuk berkomunikasi.

Laman web rangkaian sosial telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Buktinya, jumlah pengunjung facebook seluruh dunia ialah kira-kira 350 dan 6.2 juta daripadanya daripada Malaysia. Laman friendster mencatatkan pengguna 4.2 juta orang, diikuti myspace 2.1 juta orang dan twitter seramai kira-kira 750,000 orang.

Melalui media baru ini, jaringan komunikasi manusia menjadi lebih mudah dan cepat. Walaupun dipisahkan oleh faktor fizikal dan kekangan masa, silaturrahim masih boleh dieratkan apabila proses komunikasi berlaku secara atas talian.

Tidak dinafi kan teknologi amat berjasa kepada manusia. Namun sekiranya manusia membiarkan dirinya dikawal oleh teknologi, maka manusia akan kehilangan sisi kemanusiaannya sedikit demi sedikit.


No comments: