Adakah Kau Lupa??
www.iluvislam.com
apolutosia
Editor: ar-ruhul JADEED
www.iluvislam.com
apolutosia
Editor: ar-ruhul JADEED
Terkenang saat pertama mengenali jalan ini. Memang diciptakan Allah jalan ini dengan sifatnya yang berliku-liku. Payah rasanya menahan pedih melawan hawa nafsu yang memuncak-muncak. Tambahan lagi dengan darah muda yang masih panas ini. Namun, suatu ketika dahulu telah dibuktikan bahawa remaja-remaja muslim berjaya. Bukan sahaja dari segi kekuatan fizikalnya, namun juga dari segi pemikiran. Hasilnya, lahirlah tokoh-tokoh Islam yang dikenali sehingga hari ini:
1. Saidina Ali r.a.
2. Salahuddin Al-Ayyubi
3. Zaid bin Harithah
4. Tariq bin Zaid
5. Usamah bin Abu Jahal
MasyaAllah, semuanya mantap-mantap belaka agama mereka. Ingin sekali diikuti jejak langkah mereka. Namun di antara tokoh-tokoh tersebut, Salahuddin Al-Ayyubi merupakan tokoh yang ingin sekali dicontohi.
Siapakah Salahuddin ini? Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorang pun yang menyangka sebelum dia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib, bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Tiada siapa yang menyangka pencapaiannya sedemikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.
Baca lagi...
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gabenor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satu pun tanda-tanda bahawa dia akan menjadi orang yang hebat pada masa depan. Akan tetapi dia menunjukkan akhlak yang mulia. Walau bagaimanapun, Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung. Ketika dia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syiah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat hati dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216).
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, dia tiba-tiba berubah. Dia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika dia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menulis dalam catatannya bahawa,sebaik sahaja Salahuddin menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenangannya telah lenyap daripada pandangan matanya, dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah dia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir daripada tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan dia meneruskan perjuangan Islam.
Sehubungan dengan itu, dia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Semangat Jihadnya yang tinggi menyebabkan fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemrinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuatkan pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini, dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat ,dia telah memulakan jihad melawan tentera salib, dia akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Dia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Dia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam. Ketika dia mengepung Acre dia hanya minum, itu pun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari jumaat hingga isnin kerana dia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu, (Bahauddin, 1234).
Peperangan Hittin, satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 RabiulAkhir, 583H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole telah menulis, bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika, setelah khemahnya didirikan, dia memerintahkan agar tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian dia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika, dia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika dia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela ke atas Muhammad saw". Lalu dia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal daripada khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, dia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi". Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bahawa, bila jamaah haji dari pada Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelamatkan kamu". Ketika dia mendengar berita ini dia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila dia dapat menangkapnya.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukit pun akan mengecut daripada bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab (583H), iaitu pada hari Isra Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah saw naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin, dia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri daripada ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan dengan gembiranya atas kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit.
Selepas 90 tahun, kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di Dome of Rock telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu. Salahuddin yang mempunyai sifat penyayang dan belas kasihan semasa peperangan, ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam.
Dia telah menulis bahawa Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlak ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.
Para tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik. Semua jalan keluar masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menulis, bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, Adikku telah membuat infak, Paderi besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam.
Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka. Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem, jalan-jalan itu tersumbat dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir daripada pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasib baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menulis bahawa, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dia adalah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya, bahkan mungkin di sepanjang zaman. Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian dia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian.
Maka bantuan daripada Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang daripada dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu. Peperangan ini berlanjutan selama lima tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga. Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama lima tahun.
Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apa pun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walaubagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu, tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan mereka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja.
Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192. Lane-Poole juga menulis bahawa didalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura'. Dia mempunyai majlis syura (musyawarah) yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat dan tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendek kata, semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Wafatnya Salahuddin Pada hari Rabu, 27 Safar (589H), pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas dia jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang wara' telah diminta untuk menemani Salahuddin di Istana supaya jika dia nazak, bacaan al-Quran dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak tiga hari yang lepas membacakan al-Quran. Dalam masa ini, Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar.
Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan dengan nada yang gembira dia berkata, "Memang benar". Selepas dia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini, ialah sebelum subuh, 27 Safar. Seterusnya Bahauddin menceritakan bahawa, Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika dia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk menguruskan pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung perbelanjaan pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh ssalah eorang menterinya.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewara'kan Salahuddin. Satu hari dia berkata bahawa, dia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Dia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya dia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, dia sentiasa mengerjakan sembahyang sunat malam. Jika disebabkan hal tertentu dia tidak dapat sembahyang malam, dia akan menunaikannya ketika hampir subuh.
Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana dia telah tersangat lemah dan selalu pengsan. Tetapi dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Dia tidak pernah membayar zakat kerana dia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Dia tidak meninggalkan harta selain itu.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun dia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu dia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera dia membayar fidyah. Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Dia sangat gemar mendengar bacaan al-Quran. Dalam medan peperangan, acap kali dia duduk mendegar bacaan al-Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinangan. Dalam peperangan kadang-kadang dia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepongan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, bahawa "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya dia berehat tetapi jawapannya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh aku pun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati dia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu dia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?" Aku menjawab, hari ini hari jumaat, engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu.
Aku pernah membaca hadis, doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajatlah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini." Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitis ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir.
Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari pagi isnin. Sesiapa yang rapat dengan Salahuddin akan mengatakan bahawa dia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun.
Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan dia telah meluangkan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari isnin dan selasa. Pada masa ini dia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Dia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkannya untuk dituliskan oleh jurutulis untuk tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Dia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi dia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama dia sentiasa bertasbih kepada Allah. Jika ada orang membuat aduan, dia akan mendengar dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya.
Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Lalu dengan segera dia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan, dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, dia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain. Dia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Dia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, dia tidak pernah memarahi sehingga menjatuhkan air muka mereka.
Pada suatu ketika dia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Dia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". Dia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Selain itu, ketika yang lain dia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu dia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan dia belum benar-benar sihat, dia merasa kesejukan tetapi dia hanya berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika dia telah berjaya menawan bandar Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati dia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika, dia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika Salahuddin tahu, dia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "dia mengatakan dirinya".
Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya, tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tetamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan dia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit. Hatinya memang sangat lembut hingga dia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan.
Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri daripada khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan bahawa dia telah dimaklumkan, hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu dia pun turut menangis. Dia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah ditemui dan dibawa kembali lalu dengan rasa gembira, perempuan Kristian itu mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat belas kasihan kepada anak-anak yatim. Bila dia terjumpa anak-anak yatim dia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang dia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Dia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila dia bertemu dengan orang sedemikian.
Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidapi penyakit, yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, dia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana dia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda". Miskipun , dia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi tetap pergi memburu musuh sepanjang malam.
"Apabila dia sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. dia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, dia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Dia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersama-sama sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Dia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam". Di dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin.
Kadang-kadang dia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang dia sendiri akan pergi merempuh dicelah-celah tentera musuh yang sedang mara. Dia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan, satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa dia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang.
Apabila mendengar perkara ini, dia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya. Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah dia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih daripada 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin.
Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran daripada musuh telah menyebabkan tentera Islam jadi kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan bahawa, betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beritahu padamu apa yang ada dalam hatiku. "Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tidak akan meletakkan senjataku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai."
Sebagai ulama, Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurd. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat daripada kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping itu, dia juga banyak menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menulis, bahawa Salahuddin berpengetahuan luas dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.
Rujukan : Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H. Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31,32-33, 7,155 Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99.
No comments:
Post a Comment